Kastor peluang baru pertanian

Sumber : Utusan 21/07/10.

DIKENALI sebagai pokok jarak di negara ini, kastor merupakan salah satu tanaman yang bakal mencetuskan fenomena pertanian baru kepada petani. Jika harga pasaran dunia bagi minyak kelapa sawit berada di bawah nilai satu dolar Amerika Syarikat, minyak kastor pula berharga dua hingga tiga kali ganda berikutan permintaan terhadapnya semakin meningkat ketika kini.

Hal demikian kerana produk yang dapat dihasilkan daripada tanaman ini adalah pelbagai dan tidak dapat menampung permintaan yang sedang melonjak tinggi. Pokok kastor atau nama saintifiknya Ricinus communis adalah spesies pokok berbunga dari keluarga Euphorbiaceae. Benih pokok ini dikenali sebagai biji kastor dan sebenarnya berasal daripada Mesir , India dan ia juga boleh ditemui di sekitar kawasan tropika seperti China, Brazil, serta Thailand. Biji kastor pada dasarnya amat beracun namun minyak dihasilkan kini merupakan sumber penting kepada produk seperti minyak pelincir kapal terbang. Ia juga merupakan satu produk komersial terawal dan telah dikenali sejak 4,000 tahun Sebelum Masehi apabila biji benih tersebut ditemui dalam makam-makam di Mesir.

Minyak kastor

Jika di Mesir pada zaman dahulu, minyak kastor digunakan untuk menyalakan lampu dan disapu pada badan selain digunakan untuk menyihatkan rambut. Di India ia juga digunakan untuk menyalakan lampu manakala di China menggunakannya sebagai rawatan dalam dan luaran. Hari ini, di Malaysia, tanaman ini sedang diusahakan oleh syarikat FarmBond Resources Sdn. Bhd. yang beroperasi sejak 2008.

Syarikat ini juga turut membekalkan benih kastor untuk pertanian ke seluruh Asia. Menurut pengurus perniagaan syarikat tersebut, Zaini Zam Keman, purata tanaman kastor hanya selama 120 hari sahaja.
"Selepas 120 hari pokok kastor sudah boleh dituai untuk kali pertama."Pokok kastor boleh bertahan sehingga lapan tahun dan hasilnya boleh dituai sepanjang tahun jika ditanam di negara ini," jelas beliau ketika ditemui di pejabatnya. FarmBond memiliki pengalaman luas dalam bidang perniagaan dan serta kepakaran dalam menghasilkan benih kastor yang bermutu tinggi.Jelas Zaini Zam, tidak semua pokok kastor yang ditanam dapat menghasilkan peratus minyak yang tinggi seperti yang dikehendaki. Sebagai contoh, spesies tempatan memiliki biji benih yang kecil justeru ia tidak sesuai ditanam untuk tujuan komersial.

"Di sini kami menggunakan benih pokok kastor hibrid yang diimport terus dari China yang mana buahnya lebih besar dan memiliki peratusan kandungan minyak yang lebih tinggi," jelasnya. Namun dengan ladang yang dimiliki FarmBond kini, ia tidak dapat memenuhi permintaan dunia yang semakin meningkat. Justeru syarikat Farmbond mengambil inisiatif mengadakan perladangan kontrak bagi para petani yang berminat. Jelas Zaini Zam, mereka hanya perlu menyediakan tapak (ladang) minimum hanya tiga ekar bagi memastikan mereka menerima pulangan yang berbaloi. "Segala persiapan ladang, pinjaman bank dan penanaman pokok sehingga berusia sebulan akan diuruskan oleh syarikat sebelum diserahkan kepada petani selepas itu.

"Kita juga akan membeli semua hasil tuaian justeru petani tidak perlu risau memikirkan tentang pasaran biji kastor tersebut. "Malah kita juga menawarkan jawatan eksekutif pemasaran sebagai agen untuk membantu petani," ujarnya. Bagi yang berminat boleh menghubungi Zaini di talian 03 79542297 atau melayari laman web syarikat tersebut di www.farmbond.com.

Comments

Popular posts from this blog

Cara Permohonan Tanah

Proses Tuaian Madu

Kandungan dan Khasiat Beebread Kelulut