Followers

Sunday, June 20, 2010

Teknologi biogas hasil teh serai

Oleh LAUPA JUNUS
Gambar SAIFUL BAHARI ASHARI
Artikel : Utusan @ 21/6

Najwa Mohd. Nor menunjukkan sistem biogas yang digunakan untuk memproses serai mentah dan menghasilkan teh.

USAHLAH bertanya kepada sesiapa apakah khasiat dan manfaat Cymbopogon citratus kerana ramai akan terpinga-pinga?

Namun menyebut sahaja serai, ramai akan tersenyum kerana telah maklum bahawa herba tersebut sudah diketahui khasiatnya sejak turun temurun.

Serai biasanya digunakan dalam masakan bukan sahaja kerana khasiatnya tetapi juga aroma yang membuka selera.

Sebab itu, banyak syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) memanfaatkan serai sama ada untuk dijadikan masakan atau rempah yang telah ditumbuk untuk kegunaan masakan.

Pada masa sama, penyelidikan untuk mencari khasiat serai terus dijalankan, bagi mencari kemungkinan sebatian aktif dalam serai boleh bertindak dalam melawan penyakit tertentu.

Manfaat serai

Menyedari serai mempunyai pelbagai kegunaan, sebuah syarikat tempatan, Rapat Nusantara Sdn. Bhd. memanfaatkan tanaman herba tersebut untuk menghasilkan minuman herba berkhasiat.

Produk yang mereka hasilkan ialah teh serai berjenama Citralife yang telah mula berada di pasaran sejak tahun lepas.

Syarikat tersebut terlibat dalam penanaman, pemprosesan, pengedaran dan pemasaran serai sejak 2008 lagi.

Menurut jurutera syarikat yang banyak memainkan peranan penting membangunkan produk mereka, Najwa Mohd. Nor, pihaknya telah terlibat dalam penanaman serai dengan hasrat mempopularkan teh daripada herba tersebut terutama kepada mereka yang mementingkan kesihatan.

Najwa berkata, peluang menceburkan diri dengan industri pemprosesan serai perlu dimanfaatkan selepas Azed Bina Sdn. Bhd. menerima geran daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi sistem atau mesin biogas.

Azed Bina bekerjasama dengan Rapat Nusantara untuk memproses dan mengeringkan serai dengan teknologi hijau yang mesra alam.

Pada mulanya , ia hanya dimanfaatkan untuk industri biomas atau penjanaan tenaga daripada bahan terbuang.

Pihaknya mendapati, sistem tersebut boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan produk serai dengan menggunakan pemanasan pada suhu 100 darjah Celsius.

Pada masa sama, mereka menjalankan kajian mengenai manfaat serai dan mendapati kandungan citral yang terkandung dalam herba tersebut boleh membantu dalam penjagaan kesihatan antaranya membantu mengurangkan kolesterol, membantu mengurangkan tekanan darah dan terdapat khasiat lain.

''Berdasarkan kandungan citral tersebut, kami menamakan jenama produk kami sebagai Citralife,'' ujarnya ketika ditemui di pusat pemprosesan serai di Jalan Enam, di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau berkata, kandungan citral dalam Citrallife agak tinggi iaitu 280 peratus berbanding kandungan semula jadinya dalam pokok serai.

Menurut Najwa, teknologi untuk memproses serai tersebut direka dan dibina sendiri oleh pihak syarikat.

''Sistem ini mampu memproses satu tan serai segar sehari untuk dijadikan minuman herba Citralife.

Serai segar perlu dibersihkan dan dipotong terlebih dahulu sebelum dikeringkan dan dikisar.

Sebanyak tiga tan serai segar diperlukan untuk menghasilkan 500 kilogram, serai kering.

''Pihak kami sendiri telah menjalankan ujian perbezaan antara serai segar dan kering (Citralife) di FRIM (Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia) Kepong, dan hasil ujian mendapati kandungan citral (agen yang mampu membunuh sel kanser) dalam serai kering tiga kali lebih tinggi berbanding serai segar.

''Orang yang minum jus serai segar juga tidak mendapat kesan yang sama sebagaimana mereka meminum Citralife,'' kata Najwa.

Kata Najwa, minuman serai ini merupakan tradisi orang Melayu yang makin dilupakan generasi muda.

Banyak khasiat dan kajian telah dijalankan terutama di negara-negara asing mengenai pengaruh serai dalam kesihatan manusia, terutamanya dalam penyakit kanser, darah tinggi, arthritis dan lain-lain.

Katanya, Citralife dihasilkan dalam dua bentuk produk iaitu uncang yang dijual dalam satu paket mengandungi 15 uncang teh berharga RM16 dan bungkusan 80 gram berharga RM12.

Najwa berkata, sejak berada di pasaran kira-kira setahun lepas, produk tersebut mendapat maklum balas menggalakkan daripada pengguna.

Pihaknya juga mendapat banyak respons yang baik daripada pesakit-pesakit darah tinggi, artritis dan beberapa pesakit kanser.

''Tidak disangka serai yang selama ini digunakan sebagai bahan ramuan dalam masakan mempunyai ubat untuk merawat pelbagai penyakit tanpa kita sedari,'' katanya.

Kini produk berkenaan memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan sijil kategori makanan daripada Kementerian Kesihatan.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi 03-79872080 atau layari http://lemongrassherbal.blogspot.com

No comments: