Followers

Saturday, February 26, 2011

KLON-KLON DURIAN YANG DISYORKAN

Artikle di bawah dipetik daripada  

http://pertanianmjg.perak.gov.my/bahasa/panduan_durian.htm

KLON-KLON POKOK DURIAN YANG DISYORKAN
  • D 24
    Klon ini berasal dari Bukit Merah, Perak dan telah didaftarkan pada 30 November 1937.  Pokok cergas membesar, rendang dan rajin berbuah.  Hasil purata pada peringkat awal (umur 6-9 tahun) ialah 10 biji sepokok setahun.  Hasil akan meningkat ke 65 biji setahun bagi pokok berumur 15 tahun dan ke atas. Bentuk buahnya bulat membujur, bersaiz sederhana besar dengan berat diantara 1.0 - 1.8 kg sebiji buah durian.  Pangsa mempunyai 1-3 ulas yang berwarna kuning pucat dan bersusun sebaris.  Isi manis, pejal, bertekstrur halus dan sedikit pahit. Peratus isi ialah 26%.  Pokok memerlukan tanah yang subur dan tidak tahan kemarau tanpa pengairan yang cukup.  Tempoh matang buah ialah 105-110 hari selepas bunga kembang.  Bijinya besar dan kebanyakannya merekah.   D 99
    Durian ini dipanggil Kop Kecil, berasal dari Thailand dan didaftarkan pada 17 Jun 1970.  Pokok lasak tetapi lambat membesar.Pokok agak kecil tetapi rajin berbuah.  Pada peringkat awal (pokok berumur 6-9 tahun) hasil ialah 7 biji sepokok setahun.  Hasil akan meningkat ke 45 biji setahun bagi pokok berumur 15 tahun dan ke atas.  Di pokok, buahnya didapati dalam keadaan berjambak.  Saiz buah sederhana dengan berat diantara 1-2 kg. sebuah.  Buah durian D 99 berbentuk bulat tetapi dempak di bahagian pangkal dan hujung buah.  Kulitnya nipis berwarna hijau hingga hijau perang.  Durinya kecil, pendek dan tajam.  Buah boleh dikopek dengan mudah.  Bilangan ulas boleh mencapai sehingga 25 ulas bagi sebiji durian.  Isinya sederhana tebal, berwarna kuning terang dan tekstur isinya halus.  Pokok tahan terhadap kanker batang dan persekitaran kering.  Rasanya lemak manis.  Kebanyakan biji durian jenis ini adalah leper atau kesep.  Tempoh matang ialah 90-100 hari selepas bunga kembang.
     








  • D 123
    Klon yang berasal dari Thailand ini dipanggil 'Chanee' dan didaftarkan pada 24 Julai 1971 serta sesuai ditanam di sebelah utama Semenanjung Malaysia.  Pokok sederhana besar dan tahan kepada keadaan kering.  Hasil purata sepokok (berumur 10 tahun) ialah 30-40 biji sethaun.  Buah besar, berat 2.5 kg. sebiji dan berbentuk bujur.. Permukaan kulit buah berlekuk dan berwarna hijau kekuningan.  Isinya tebal, berwarna kuning keemasan,  beraroma atau berbau kuat; rasa lemak dan manis dan tekstur isi yang sederhana halus.  Peratus isi 30-40%.  Tempoh matang buah ialah 105-120 hari selepas bunga kembang.
     




  • D 145
    Klon durian D 145 berasal dari Beserah, Kuantan, Pahang dan didaftarkan pada 30 Oktober 1981.  Durian ini juga digelar Durian Beserah, Tuan Mek atau Durian Hijau.  Pokok sederhana besar dan sederhana cergas.  Hasil purata sepokok (berumur 10 tahun) ialah 50 buah setahun.  Buah berbentuk bulat, purata berat 1.4 kg. sebiji dan di bahagian hujung buah terdapat bentuk seperti puting.  Durinya rapat dan panjang dan kulit berwarna hijau bila cukup matang.  Isinya berwarna kuning keemasan, bertekstur halus dan rasa lemak manis.  Peratus isi buah ialah 25%.  Tempoh matang buah adalah 105-115 hari selepas  bunga berkembang.
     




  • D 158
    Durian ini berasal dari Thailand.  Nama popularnya 'Kan You' atau Tangkai Panjang dan telah didaftarkan pada 30 Jun 1987.  Pokok sederhana besar dan tahan kepada keadaan kering.  Saiz buah durian ini adalah sederhana besar dengan purata berat diantara 2-4 kg. sebuah.  Warna kulitnya hijau perang, tangkai buah panjang (15-17 cm).  Buah berbentuk bulat bujur, kulit buah berwarna hijau perang dan durinya pendek.  Saiz ulasnya besar.  Isi tebal, ulas besar dan berwarna kuning keemasan, pejal sedikit bersabut dan rasanya manis.  Klon ini kurang beraroma jika dibandingkan dengan klon D 123.  Peratus isi buah ialah 32%.  Tempoh matang buah antara 130-140 hari selepas bunga berkembang.
     




  • D 159
    Dikenali sebagai 'Mon Thong' atau Bantal Mas.  Berasal dari Thailand dan popular di kawasan utara Semenanjung Malaysia dan telah didaftarkan pada 30 Jun 1987.  Pokok sederhana besar, senang hidup apabila ditanam dan tahan kepada keadaan kering.  Hasil purata sepokok (beruumur 10 tahun) ialah 60-100 biji semusim dan purata berat buah diantara 3.0-5.0 kg. Buah berbentuk bujur panjang dan bergelugur.  Bahagian hujung buah tajam dan membengkok sedikit.  Duri berwarna perang dan kasar.  Ulasnya besar, isi tebal, berwarna kuning emas, rasa yang manis, tekstur isinya halus dan berkrim dan kurang beraroma.  Peratus isi buah ialah 30-35%. Tempoh matang buah diantara 130-140 hari selepas bunga kembang.
     




  • D 169
    Berasal dari Kelantan dan didaftarkan pada tahun 1989.  Klon ini juga dikenali sebagai 'Tok Li Tok'.  Pokok sederhana besar dan pertumbuhannya cergas.  Hasil purata sepokok ialah 40-50 biji setahun (berumur 10 tahun).  Berat buah 1.2-1.8 kg. sebiji.  Bentuk buah bujur panjang, kulit buah berwarna hijau kekuningan, nipis, mempunyai duri yang agak kasar dan tajam.  Isinya tebal, berwarna kuning, sedikit bersabut dan lembut.  Rasanya lemak manis dan pahit sedikit.  Peratus isi ialah 25%.  Tempoh matang buah ialah 100-110 hari selepas bunga kembang.
     




  • MDUR 78
    Hasil dari kacukan D10 dan D24.  Pokok cergas membesar dan rintang terhadap penyakit kanker.  Berat buah 1-1.8 kg. sebiji.  Kulit sederhana tebal.  Berwarna hijau muda kekuningan dan berbentuk bulat membujur.  Isi tebal, ulas besar, warna ulas kuning dan bertekstur halus.  Rasa isi lemak, manis dan beraroma.
     




  • DUR 79
    Hasil dari kacukan D24 dan D10.  Pokok sederhana besar dan rintang kepada penyakit kanker.  Rajin berbuah, buah berbentuk bulat membujur dan berat 1.0-1.6 kg. sebiji.  Warna kulit hijau.  Isi berwarna kuning jingga, ulas besar dan bertekstur halus.  Rasa isi manis dan lemak.
     




  • MDUR 88
    Klon hibrid, hasil kacukan antara D24 dan D10.  Buah berbentuk bulat bujur.  Saiz buah sederhana besar antara 1.5-2.0 kg.  Isi sangat tebal dan berwarna kuning emas.  Tekstur isi pejal, sederhana halus dan rasanya lemak manis.  Hasil purata ialah 55-65 biji/pokok/musim.




  • 1 comment:

    Anonymous said...

    please enclose the photos of the clones n sample flesh for completeness,tq