Followers

Wednesday, December 16, 2009

Industri Walet

Dipetik daripada Akhbar Kosmo.

MASALAH pelesenan premis burung walit yang dibina di kawasan bandar dilihat mampu menggugat perkembangan industri tersebut. Kekangan itu dibuat berikutan burung walit didakwa menggugat populasi penduduk di sekitarnya, terutama dari aspek risiko penyakit yang dikaitkan dengan haiwan tersebut.

Masalah pengurusan dan pemantauan juga dikatakan menyentuh sensitiviti penduduk terlibat. Justeru, ia menimbulkan dilema di kalangan pedagang sarang burung walit. Masalah itu amat ketara di Sarawak, lokasi di mana premis burung dilarang dibina di kawasan bandar. Sedangkan pada masa yang sama, negeri itu mempunyai lebih 1,500 premis burung 'haram' yang perlu ditangani secara bijak oleh pihak berkuasa.

Persoalannya, sejauh manakah benarnya andaian itu dan apakah jalan penyelesaian terbaik supaya hasrat kerajaan untuk memperkasa industri burung walit tidak berkubur di tengah jalan?

Isu pelesenan
Apakah ia relevan untuk dilihat dalam konteks kenegerian? Atau isu itu merupakan masalah yang harus ditangani secara holistik melalui kerjasama dan persefahaman yang seiring antara agensi berkaitan dengan kerajaan negeri terbabit?
BURUNG walit dewasa menggunakan air liurnya untuk membina sarang yang terletak di bahagian siling bangunan, Isu pelesenan rumah burung bermula apabila pihak berwajib melakukan operasi membersihkan premis burung walit di Mukah, Sarawak pada Oktober tahun lalu. Ia dilihat membuka mata umum mengenai kewujudan industri sarang burung walit.
Turut dipersoal, cara operasi itu dilakukan. Anak burung walit iaitu spesies yang dilindungi di bawah Akta Hidupan Liar 1972, dibiarkan mati dari sarang yang dirampas seperti disiarkan di laman youtube.com.

Rentetan daripada operasi itu, isu tersebut mula dibangkitkan oleh Persatuan Pedagang Sarang Burung Walit di Mukah, diikuti Persatuan Pedagang Sarang Burung Walit di Sibu dan Sarikei. Mereka meminta Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud campur tangan bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Pemilik premis burung walit dikatakan mahu terus beroperasi di premis sedia ada. Kebanyakannya adalah lot rumah kedai terbengkalai yang kemudian membawa hasil yang sangat lumayan kepada pedagang burung walit.

Dibangunkan secara terkawal
Sarang burung walit di negara ini dikatakan berkualiti tinggi. Ia mendapat sambutan menggalakkan di pasaran China dan Arab. Harganya dilaporkan mencecah RM10,000 sekilogram. Namun di sebalik potensi itu, Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 Sarawak tidak membenarkan spesies itu diternak di kawasan bandar, kecuali habitat asalnya seperti gua. Ini menyukarkan keadaan bagi industri burung walit.

Pengarah Jabatan Hutan Sarawak yang juga Kontroler Hidupan Liar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh menegaskan bahawa kerajaan negeri mahu industri sarang burung walit dibangunkan secara terkawal mengikut undang-undang yang ada. Len Talif berkata, kira-kira 100 lesen diluluskan daripada antara 600 hingga 700 permohonan yang diterima sejak Mei lalu.
"Kebanyakan lesen diluluskan itu melibatkan old-player (pengusaha lama) yang memenuhi syarat. Selebihnya ditolak kerana premis burung itu terletak di kawasan bandar," kata Len Talif kepada Bernama ketika dihubungi di pejabatnya di Kuching baru-baru ini.

Beliau berkata, penguatkuasaan akan tetap diteruskan sehinggalah isu itu selesai sepenuhnya.
BURUNG ini mampu memberi pulangan yang sangat lumayan kepada pengusahanya.
Sumber industri melihat pemberian lesen sebagai perkembangan yang positif. Jika dibandingkan dengan keadaan sebelum Mei lalu, hanya dua daripada lebih 1,500 premis burung walit di negeri itu mempunyai lesen.

Pemberian lesen oleh Jabatan Hutan dan Kontroler Hidupan Liar Sarawak melibatkan pedagang sarang burung dari Mukah, Bintulu, Kuching, Kota Samarahan dan Sarikei. Ia meliputi kawasan pertanian yang telah dikenal pasti. Pengusaha juga perlu mendapat kelulusan daripada agensi berkaitan seperti Jabatan Tanah dan Survei, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) serta pihak berkuasa tempatan.

Satu berita baik adalah kerajaan negeri juga akan membina tiga taman eko (eco-park) burung walit di Mukah, Sarikei dan Bintulu untuk dijual atau disewakan kepada pihak yang berminat.
Kelonggaran untuk beroperasi. Namun kesangsian terhadap jaminan burung akan singgah dan bersarang di taman eko yang dibina, selain faktor birokrasi, menyebabkan sebilangan besar pemilik rumah burung mahu kerajaan negeri memberi kelonggaran beroperasi di premis sedia ada.

Mereka juga berharap kerajaan negeri mengguna pakai garis panduan penternakan seperti Amalan Baik Penternakan Haiwan (GAHP) Burung Walit, yang membolehkan pedagang sarang burung walit di Semenanjung membina premis burung di kawasan bandar.
SARANG burung walit yang telah dikumpul perlu diproses sebelum boleh dijual.
"Kami akan ikut garis panduan ini," kata pengerusi Persatuan Pedagang Sarang Burung Walit Sarikei, Wong Hua Ting.

'Permintaan' itu nyata menimbulkan situasi bertentangan antara pihak kerajaan negeri yang bertegas premis burung walit hanya boleh dibina di tanah pertanian atau taman eko yang disediakan.

Keadaan itu pasti akan menimbulkan situasi panik dalam kalangan masyarakat. Terutama apabila terdapat hujah mengenai ancaman penyakit yang melibatkan spesies burung itu.
Sehingga hari ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengesahkan daripada lebih daripada 5,000 ujian dilakukan, spesies burung walit didapati bebas daripada selesema burung dan penyakit sampar ayam.

Pendaftaran dengan JPV
JPV adalah agensi peneraju industri burung walit negara sejak status itu diputuskan oleh Kabinet pada April lalu. JPV sedang menyiapkan garis panduan penternakan burung walit yang akan dibawa ke perhatian Jawatankuasa Pemandu Mengenai Industri Walit Negara pada 14 Disember ini.

Garis panduan yang dikenali sebagai 1GP itu mewajibkan setiap premis burung walit didaftarkan dengan JPV. Namun sebelum garis panduan itu diterima pakai oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini, ia akan dibawa ke perhatian Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka pada Mac depan.

"Garis panduan ini akan menjadi standard untuk semua PBT. Ia akan membantu para pedagang dan pemilik rumah burung untuk menceburi bidang ini dengan lebih teratur," kata Pengerusi Persekutuan Persatuan Pedagang Sarang Burung walit, Datuk Beh Heng Seong.
SALAH sebuah rumah burung walit yang dibina di atas tanah berstatus pertanian di Mukah, Sarawak.

Tiada lagi rampasan
Mengenai garis panduan itu, Len Talif berkata kerajaan negeri Sarawak akan menerima garis panduan tersebut selagi ia tidak bercanggah dengan ordinan negeri yang akan terus dikuatkuasakan.

Difahamkan juga bahawa operasi penguatkuasaan di Sarawak tidak lagi akan merampas sarang burung. Sebaliknya, kompaun dikenakan manakala peralatan berkaitan akan dirampas. Ia bagi mengelakkan berlakunya populasi burung bersarang di bangunan berdekatan.
Perkembangan itu dilihat sebagai indikasi positif dalam cara penguatkuasaan dilakukan. Namun ia bukanlah lesen untuk semua pihak terus membina premis burung tanpa kelulusan sah.
Apa yang pasti, hasrat kerajaan untuk mempunyai 100,000 ladang burung walit dengan pengeluaran 500 tan sarang burung setahun bernilai RM5 bilion menjelang 2020 tidak akan menjadi kenyataan, selagi isu pelesenan tidak diselesaikan segera.

Kerjasama semua pihak termasuk agensi berkaitan, kerajaan negeri dan pedagang sarang burung perlu untuk menjayakannya. Itu pun jika negara mahu menjadi pengeluar utama sarang burung walit, setanding dengan Indonesia dan Thailand.

No comments: