Bio Daun lancar francais tarik penanam serai

sumber : Utusan Online @ 9/10/8

KOTA BHARU 8 Okt. - Bio Daun Plantation Sdn. Bhd., salah satu pengeluar serai terbesar di Pantai Timur, melancarkan satu sistem francais bagi melahirkan lebih ramai usahawan dan mempercepatkan pengembangan industri berasaskan pertanian.
Syarikat yang ditubuhkan pada Ogos tahun lepas kini menawarkan sistem francais kepada orang ramai melalui dua pendekatan termasuk penanaman secara ladang kontrak.
Pengarahnya, Mohd. Nizam Mohamed berkata, mereka boleh mengusahakan sendiri tanaman itu dan melalui perjanjian yang akan dimeterai, kesemua hasil tuaian dijual kepada syarikat.
''Satu lagi cara ialah melalui perkongsian di mana syarikat menyuntik modal termasuk kos benih, baja, racun, tenaga pekerja di mana hasilnya dibahagi dua," ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Setakat ini katanya sambutan golongan petani agak menggalakkan dan kini terdapat 24 hektar di Segamat, juga di Johor dan Pahang manakala 20 hektar lagi di Kelantan telah diusahakan dengan tanaman serai.
''Syarikat mensasarkan seluas 600 hektar tanah berjaya ditanam serai pada pertengahan tahun hadapan dengan sebahagian daripadanya milik Bio Daun Plantation manakala selebihnya difrancaiskan," ujarnya.
Serai merupakan sejenis herba yang dikenal pasti untuk pembangunan pertanian dan merupakan satu sumber pendapatan penting di dalam negeri-negeri Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Serai digunakan secara meluas dalam makanan Asia. Ia juga digunakan dalam industri penghasilan penyembur serangga, untuk aromaterapi, minyak wangi, kosmetik dan produk anti kanser.
Selaras dengan Rancangan Malaysia ke-Sembilan (RMK-9) bagi menjadikan pertanian satu perniagaan, Bio Daun telah menanam, memproses dan memasarkan serai atau nama saintifiknya Cymbopogon Citratus sejak Disember 2007.
''Serai merupakan produk pertanian berhasil tinggi yang sedia dituai dalam tempoh enam bulan sahaja dan pasaran di peringkat antarbangsa cukup besar," katanya.
Tambahnya, minyak pati dan ekstrak serbuknya bernilai tinggi kerana ia mempunyai potensi komersial yang besar untuk pasaran tempatan dan eksport.
"Pasaran minyak pati serai yang bernilai RM1.618 bilion meningkat kepada 10 hingga 15 peratus setiap tahun. Permintaan yang tinggi datang dari Eropah terutama dari Jerman, Amerika Syarikat dan Jepun," katanya.
Bermula dengan ladang seluas 3.7 hektar di atas tanah terbiar di Kuala Lipis, Bio Daun kini mengusahakan 121 hektar ladang di Pahang dan Kelantan.
"Dengan menanam di tanah terbiar, Bio Daun menyokong polisi 'Bumi Hijau' kerajaan bagi menggalakkan pertanian mampan dan mewujudkan alam sekitar yang selesa," ujarnya.
Mohd Nizam berkata, sejumlah 9,125 rumpun serai boleh ditanam di atas tanah seluas satu hektar bagi menghasilkan pendapatan antara RM35,000 hingga RM42,500 apabila dituai selepas enam bulan.
"Kami baru sahaja menuai serai dari kawasan seluas lapan hektar. Melalui bantuan MARDI, serai tersebut diproses menjadi minyak pati dan ekstrak serbuk di sebuah kilang di Negeri Sembilan," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Cara Permohonan Tanah

Proses Tuaian Madu

Kenalilah Madu Kelulut Asli